Wednesday, October 11, 2006

Sejenak Menyusuri Temubual Bersama Mufti Perak

Temubual bersama Mufti Perak…Semoga beroleh manfaat..

Permasalahan umat Islam di negara ini semakin meruncing dan menghadapi pelbagai tekanan dari segenap penjuru. Golongan bukan Islam semakin berani mencampuri urusan umat Islam. Malahan yang bergelar Islam yang rapuh pengetahuan agamanya, turut mengancam Islam.

Walaupun kesibukan dengan temu janji tugasan, Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria berkesempatan membicarakan isu ini. Ikuti temubual wartawan Nyza Ayob dan Azamin Amin di pejabatnya, di Kompleks Islam Darul Ridzwan, Ipoh baru-baru ini.

Pada pandangan Dato' bagaimanakah situasi dan keadaan umat Islam di Malaysia pada masa ini?

Pada pandangan saya, Islam di Malaysia sedang mnghadapi ancaman yang cukup berat. Ancaman utama yang dihadapi ialah pemindahan budaya dari Barat, sekularisma,budaya hedonisme, Islam liberal, pluralisma serta ancaman dari golongan yang membangkitkan soal khilafiah.Sekularisma pada asalnya untuk mencengkam ekonomi dari Barat. Tapi bagi umum ia merupakan konsep untuk memisahkan manusia dengan agama. Ia telah menular dengan hebat dan telah menjadi ritual.Sedangkan Islam tidak dapat dipisahkan dari keseluruhan hidup dan segala kegiatan hidup berkaitan dengan agama, yang dikatakan Islam sebagai ad-din.Dalam Islam, ibadat itu merupakan asas kepada budaya.

Budaya Islam terbentuk atas lima asas. Pertama dengan mengucap dua kalimah syahadah iaitu membina persaudaraan. Yang kedua sembahyang untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Puasa untuk melahirkan kasih sayang dan belas ihsan. Zakat untuk membina sifat semangat pengorbanan dalam diri. Haji pula untuk penyatuan ummah.Maksud demokrasi Islam untuk memperkasakan usul yang lima iaitu agamanya, akalnya, keturunannya, jiwanya, hartanya dan maruahnya.

Islam meletakkan semua aspek kehidupan berlandaskan nilai agama. Bagaimana ia dapat diperkasakan dalam masyarakat?

Memperkasakan perkara ini mempunyai perkaitan hidup dengan manusia. Contohnya kita berinteraksi dengan manusia dalam hubungan biasa, pergaulan harian atau sosio ekonomi. Jika budaya tidak langsung diikat dengan akidah dan sistem syarak, maka budaya itu membawa kehancuran.

Bagaimanakah pula fahaman sekularisma yang telah sekian lama menular dalam masyarakat kita?

Sekularisma sudah menular dalam masyarakat Islam sehingga orang Islam sudah tidak menghiraukan soal halal haram. Contohnya berdasarkan kajian yang dibuat yang paling ramai ambil nombor ekor adalah orang Melayu. Begitu juga dengan minum arak. Perbelanjaan arak hampir 1 bilion dan semakin menular terhadap orang-orang Islam.Kita lihat perselisihan yang paling ketara ialah sesama orang Melayu. Ia sampai ke institusi agama seperti masjid. Keadaan ini cukup merbahaya.Kita lihat sekarang ini masyarakat kita terlalu taksub dengan hiburanSaya berpandangan, apakah kita hendak menjadi pelakon yang menari di atas pentas untuk menghiburkan orang lain, sedangkan orang itu serius dalam hidupnya.

Selama 48 tahun kita sudah merdeka, yang kita kejar tidak tercapai. dari segi ekonomi kita hanya memiliki 17 peratus sedangkan manusia makin laju.Lebih ramai di kalangan kita terlampau seronok. Kita dilalaikan sehingga tidak sedarkan diri. Golongan belia kita diserang budaya hedonisma yang melahirkan golongan seperti 'black metal', 'skin head'. Ini merosakkan orang Islam.Jika dilihat dahulu menggunakan nama Sure Heboh dan terdiri dari ramai belia. Tapi apabila ditukar pada Jom Heboh, lebih ramai golongan dewasa mengikutinya. Ditambah pula dengan program lain seperti Pesta Hurray.Kita tidak belajar dengan apa yang terjadi pada tahun 1967 yang mana orang Arab disibukkan dengan bola. Israel masuk ke tanah Arab menjajah sehingga Senai jatuh ke tangan Israel. Begitu juga dengan Palestin. Ini berlaku kerana dilalaikan dengan bola. Cukup dengan tayangan bola dan tidak perlu tunggu bom hendak diletupkan. Negara tergadai, bangsa dihina, agama runtuh. Perkara ini harus menjadi pengajaran kepada kita.

Sejauhmanakah fahaman liberalisme ini menular dalam masyarakat kita?

Islam liberal ini cuba memesongkan manusia. Liberalisme ini merupakan fahaman yang diciptakan Yahudi sejak 2000 tahun dahulu. Ia berkembang dan Barat yang terpengaruh dengan liberalisme ini maka agama sudah jauh ditinggalkan. Jalan paling senang ialah mendekati dan meracuni fikiran bijak pandai Islam dengan cara logik mereka. Kita lihat hari ini suara-suara dari golongan ini cukup kuat dan ada yang menafikan azab kubur.Dari segi intelektual kita diserang oleh fahaman liberalisme.

Semua ini memesongkan akidah membuatkan semua orang tidak percaya pada agama. Mengikut liberalisme agama ini harus ditafsirkan dengan fikiran.Fahaman ini dipanggil hemunatik. Sekarang ini suara lantang kedengaran dari golongan liberalisme supaya Quran itu juga ditapis. Yang mana tidak relevan bagi mereka dibuang. Sedangkan Quran itu kitab Allah.Allah mencipta manusia dan kita lihat ilmu Allah itu cukup sempurna. DIA mencipta manusia dan tahu kebangkitan manusia. DIA menciptakan segala keperluan yang diperlukan manusia. Hukum Quran ini telah menetapkan peraturan.Apakah Allah itu tidak sempurna hinggakan memasukkan perkara yang tidak relevan dimasukkan dalam Quran. Sedangkan Nabi memberi jaminan Quran dan hukum-hukum Islam sesuai pada setiap waktu sehingga kiamat. Kewajipan kita ialah menyesuaikan apa jua kemajuan dengan syarak.

Bagaimanakah pula dengan fahaman pluralisma yang menjadi amalan dalam masyarakat kita?

Pluralisma dengan fahaman agama tujuannya baik tapi jalannya berlainan. Fahaman ini makin kuat dan diterapkan pada orang Islam. Kerana itu ada yang menjadikan perayaan agama sebagai acara nasional. Sedangkan perkara ini sudah jelas dalam Quran, Allah mengatakan agama itu Islam. Dan siapa yang mencari selain dari Islam tidak akan diterima dan akan kecewa di akhirat nanti.Begitu juga usaha-usaha ini menular pada golongan bijak pandai dan kepimpinan Melayu. Mereka sudah berusaha menubuhkan IRC dan sekarang ini IFC sehingga diperluaskan melalui 'road show'. Jadi, umat Islam diserang di pelbagai peringkat.

Bagaimanakah pula pertelingkahan sesama Islam berkaitan ilmu agama?

Golongan yang sudah berumur dan pencen pula diserang dengan fahaman khilafiah . Mereka ini orang yang mempunyai ilmu Islam tetapi mendabik dada mengatakan orang dulu semuanya silap. Hinggakan imam-imam mujtahid juga dikatakan silap. Sedangkan Rasulullah dalam hadisnya mengatakan sesiapa yang berijtihad akan memperolehi dua pahala.Mereka ini menghukumkan perkara ini bidaah, perkara itu bidaah dan semua amalan bidaah itu masuk neraka. Sehinggakan orang ramai menjadi keliru. Ada masjid dan surau menjadi kosong dan tidak lagi didatangi pengunjung kerana perbalahan.

Sehingga kini, bagaimanakah penyelesaian pada permasalahan yang melanda masyarakat Islam kita?

Berdasarkan statistik hingga awal Januari 75,000 yang majoritinya Melayu mengidap penyakit Aids. Kita masih bertengkar dan sibuk dengan soal perkahwinan seperti yang timbul, kahwin misyar.Jadi masa kita banyak dihabiskan untuk perbahasan masalah yang telah ditetapkan Allah.Orang-orang Islam Melayu khususnya di negara ini diserang dalam lima penjuru yang cukup bahaya. Jadi apa yang tinggal di negara kita sekarang ini? Saya bersungguh-sungguh untuk menyampaikan perkara ini kepada pihak-pihak tertentu supaya mempunyai kesedaran.Alhamdulillah saya pernah mencabar di mana letaknya NGO-NGO Islam, mana persatuan-persatuan ulama, persatuan guru agama, persatuan masjid, khairat kebajikan Islam. Di mana mereka ini? Kenapa mereka tidak tampil untuk mempertahankan Islam?

Baru-baru ini Dato' melancarkan penubuhan Jaringan Muafakat 18 buah NGO Islam Perak. Apa pandangan Dato' tentang usaha yang dijalankan oleh NGO ini?

Sambutan yang dibuat oleh NGO Islam baru-baru ini merupakan satu langkah yang baik. Saya mengharapkan gerakan ini tidak hanya berkembang pada golongan bawahan tetapi berkembang pada golongan intelektual dan kepimpinan supaya dapat penerapan dengan sempurna.Jika kita melihat sambutan pada malam pertama program itu kira-kira 6000 orang yang hadir, secara mentalitinya kita masih melihat masing-masing sering salah menyalah.

Ada yang menyalahkan parti politik, ada yang menyalahkan kerajaan. Jika ini masih berlaku kita tidak dapat jalan penyelesaian.Pada saya mesti berfikiran terbuka, melihat bahaya yang menimpa umat Islam dan harus bersatu. Kita tidak lagi tuduh menuduh sesama kita sebaliknya mencari jalan bagaimana mentarbiyah umat Islam ini supaya mereka sedar dan kembali pada agamanya. Ini untuk membina insan.Rukun iman itu untuk membina insan. Kalau rukun iman dilaksanakan, mereka menjadi seoarng mukmin. Apabila individu yang beriman itu membentuk dirinya sebagai mukmin, maka akan lahirlah masyarakat mukmin.

Kalau orang Islam melaksanakan rukun Islam iaitu ibadat zahir yang membentuk budaya, mereka bukan sahaja Islam tetapi muslim. Islam itu semuanya baik dan kita lahirkan manusia yang muhsin. Tiga tahap ini harus dicapai untuk kejayaan orang Islam.Selagi kita tidak dapat membina dalam diri kita sifat mukmin dan tidak dapat membentuk muslim, dan kita membentuk diri kita sebagai yang sukar melakukan kebaikan, selama itu kita tidak akan berjaya. Perkara ini yang penting untuk kita lakukan.

Dalam kenyataan baru -baru ini Dato' ada mengatakan ada menerima sebuah surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa kira-kira 40,000 orang Islam telah memeluk Kristian. Boleh Dato' terangkan lebih lanjut mengenai perkara ini?

Dalam surat itu dinyatakan pihak berkuasa Islam zalim dan tidak adil kerana telah ada 40,000 orang Islam telah memeluk Kristian tetapi tidak berani beribadat dan keluar ke gereja kerana ancaman yang dibuat oleh pemimpin Islam dan orang Islam.Surat itu diterima dari satu badan Kristian di New York. Angka yang diberikan itu sama ada sebahagian atau sebenarnya melebihi dari dinyatakan. Pada pandangan saya, perkara ini telah lama dibangkitkan dari masa ke semasa tetapi tidak mendapat sambutan.

Maksud Dato', ada yang memeluk Kristian tapi berselindung dengan imej Islam?

Ya. Contohnya terjadi baru-baru ini. Seorang wartawan telah menelefon say a, meminta pandangan apa yang harus dilakukan berkaitan masalah yang dihadapinya. Beliau sewaktu itu berada di kampung.Katanya seorang gadis dalam lingkungan 20-an telah lari dari rumah dan ke rumah wartawan tersebut untuk meminta perlindungan. Datang seorang polis membawa ayah gadis tersebut. Kata gadis tersebut, bapanya hendak memaksanya ke gereja untuk masuk Islam. Bapanya seorang Melayu.Jadi, jika sampai begini keadaannya, ini cukup parah. Perkara ini berlaku di pedalaman. Kenapa perkara ini berlaku? Mungkin kerana kewangan. Saya mendapat tahu jika seseorang itu dapat membawa seorang masuk Kristian, dia akan dibayar oleh pihak gereja.Kita lihat majlis agama sekarang ini seolah-olah sudah hilang semangat dalam memainkan peranannya.

Di mana peranan majlis agama ini dalam menjalankan penguatkuasaannya?

Majlis Agama menjalankan penguatkuasaannya untuk undang-undang. Kita lihat campur tangan di kalangan orang kita sendiri. Seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan. Jabatan Agama bertindak menangkap mereka yang melakukan kesalahan di bawah enakmen.Tapi kita lihat pemimpin dan peguam Melayu mengecam penguatkuasa bahkan nak dibebaskan orang yang melakukan kesalahan.Hadis Nabi berbunyi; 'Bagaimana nanti satu ketika apabila sudah berlaku, bagaimana keadaan kamu. Orang ramai melihat yang mungkar itu baik, yang baik itu mungkar'.Yang menangkap itu baik tapi yang melakukan perbuatan itu mungkar. Masyarakat membela yang mungkar. Keadaan ini yang berlaku sekarang.

Dato' dilihat lebih lantang dan tegas dalam isu yang melibatkan Islam berbanding mufti lain.

Bukan. Mufti-mufti lain apabila diajukan masalah ini meminta mereka berkenaan bercakap dengan saya. Jadi, jika saya tidak bercakap, siapa yang akan bercakap. Bukan kerana saya lantang. Selain itu memang tugas saya untuk menyampaikan yang benar.Ini tugas saya sebagai mufti. Saya dilantik oleh sultan dengan amanah untuk saya mengatakan yang benar. Jadi saya takut pada Tuhan dan takut kepada raja. Sebab itu saya bercakap terus terang apa yang saya lihat tidak betul.

Kenapakah mufti lain tidak berani menegur?

Bukan tidak berani. Mereka menyerahkan kepada saya. Maknanya mereka juga berani. Saya yang menjadi jurucakap. Tetapi saya tidak mewakili sesiapa. Mudah-mudahan apa yang saya nyatakan mendatangkan kesan yang baik pada masyarakat.Campur tangan bukan Islam pada hal- hal orang Islam.

Oleh kerana kita sudah lemah, kita bergaduh sesama kita, orang lain mengambil kesempatan. Sedangkan dari segi perlembagaan pun mereka tidak boleh campur tangan. Dari segi undang-undang menjadi kesalahan. Tetapi kerana kita sendiri sudah tidak tahu undang-undang dan sudah tidak prihatin pada agama, kita biarkan mereka.Mereka ini pernahkah membela Islam? Sedangkan kita sudah tahu musuh Islam sampai bila tidak akan membela Islam. Macamana baiknya Islam mereka tidak pernah mengatakan baik.Kalau kita bercakap pasal hudud, kita hanya bercakap sahaja. Tidakkah kita terfikir mereka ini menyekat perkembangan agama?

Mmmm…so..para sahabat yang dirahmati Allah...fikir-fikirkanlah….

0 Comments:

Post a Comment

<< Home